Friday, 4 October 2013

Gempar Warga emas hidup semula

Anak dan cucu Chai Gaik memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di rumahnya di Kampung Cina Kuala Gula semalam.
SELINSING – Penduduk Kuala Gula di sini gempar apabila seorang warga emas yang disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan didakwa kembali membuka mata dan menggerakkan badan selepas lima jam diletakkan di dalam keranda.
Adik mangsa, Tan Chai Soon, 55, berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi di Kampung Cina Kuala Gula kelmarin, kakaknya, Tan Chai Gaik, 69, disahkan meninggal dunia akibat sakit tua oleh pembantu perubatan yang datang ke rumah untuk merawatnya.
Menurutnya, setelah dimaklumkan pemergian mendiang, seluruh ahli keluarga menyediakan persiapan untuk upacara sembahyang dan pengebumian mendiang.
“Setelah mendiang diletakkan dalam keranda di rumahnya lebih kurang jam 1.30 tengahari, kesemua ahli keluarga menjalankan upacara sembahyang.
“Sedang nama mendiang disebut-sebut anak perempuan keduanya, tiba-tiba mendiang membuka mata dan menggerakkan sedikit anggota badan ,”katanya ketika ditemui semalam.
Chai Soon berkata, kesemua ahli keluarga yang terkejut dengan kejadian itu segera menghubungi semula pembantu perubatan yang merawat mendiang sebelum ini dan memintanya memeriksa warga emas itu.
Dakwanya, pembantu perubatan itu sangat terkejut setelah mendapati tekanan darah mendiang memberikan bacaan stabil meskipun tidak lagi bernafas dan tiada denyutan nadi.
“Pembantu perubatan segera mengarahkan ambulans daripada Klinik Kesihatan Kuala Gula menghantar mendiang ke Hospital Taiping.
“Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mendiang sebenarnya meninggal dunia sejak disahkan pada kali pertama dan kejadian ‘hidup’ kembali itu mungkin disebabkan tindak balas luar biasa tubuh mendiang,” katanya – Mstar Online

0 Responses to “ Gempar Warga emas hidup semula ”

Post a Comment